Johor Bahru, 1 November 2024 (8.42pm) – Terima kasih kepada Tuan Eyang kerana sudi menghadiahkan kepada saya buku “God? The Atheist Inside Me in Quest of God” nukilan beliau.
Metodologi & Objektif Pemerhatian
Metodologi pemerhatian ini ialah memahami bentuk pemikiran penulis, termasuk aliran keilmuan (tradisi) dan aliran pembelajarannya, serta cara beliau merekayasa dan mengolah kefahaman tersebut ke dalam buku ini. Objektif utama adalah meneliti penaakulan logik penulis terhadap kandungan utama tulisannya.
Tentang Buku “God? The Atheist Inside Me in Quest of God”
Buku ini merupakan penulisan berbentuk biografi dan memoir tentang perjalanan hidup penulis dalam pencariannya terhadap persoalan ketuhanan yang bersifat spekulatif. Ia turut merangkumi apa yang boleh dibaca sebagai “phenomenology of mind”, termasuk persoalan dan jawapan, argumentasi, dialektika serta nilai keabstrakan (transcendental).
Butiran dan Isi Kandungan Buku
Buku ini ditulis dalam bahasa Inggeris dan disertai visual grafik yang membantu menerangkan serta menegaskan penyataan tertentu.
Secara keseluruhan, buku ini mengandungi lima bab atau subtopik utama. Pada pembacaan kami, lima bahagian ini boleh dilihat sebagai lima fasa atau tempoh dalam perjalanan pencarian Eyang. Pembacaan ini juga menjadi asas kepada pemahaman frasa “quest of God” pada tajuk buku. Walau bagaimanapun, kelima-lima subtopik tersebut tidak dinyatakan secara khusus sebagai tajuk atau pengenalan bab.
Helaian Awalan (Pengenalan)
Sepuluh halaman awal mengemukakan persoalan yang lazim bermain dalam fikiran seseorang ketika mengikuti disiplin pengajian hakikat dan ketuhanan. Persoalan serta argumentasi ini boleh dilihat sebagai “Riddles of Consciousness” dalam tradisi pengajian ketuhanan (school of esoteric teaching).
Bab Pertama: Awal Kehidupan dan Persekitaran Penulis
Dalam fasa pertama, Eyang banyak menceritakan tentang diri, keluarga dan masyarakat di tempat tinggalnya di Terengganu. Beliau turut berkongsi minat membaca, aktiviti sosial seperti pengakap dan budak serigala, kisah rakan-rakan sebaya, serta pengalamannya memasuki Sekolah Menengah Sains Dungun (SMSD), sebuah sekolah berasrama penuh. Eyang merupakan pelajar aliran sains pada peringkat awal pendidikannya dan turut menyebut Ustaz Muhamad Uthman El-Muhamady dalam bahagian ini.
Bab Kedua: Fasa Bermula Pencarian (Mendalami Agama)
Dalam bab kedua, Eyang menceritakan kecenderungannya untuk mendalami ilmu agama. Antara yang disentuh ialah kisah Masjid Hijau, kefahaman dan semangat pengajian Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, serta perjalanan dari Bangkok ke New Delhi dengan menaiki kereta api.
Dalam bab ini juga, Eyang menceritakan pengalamannya mengenal Islam melalui pelbagai tradisi daripada ulama di India dan Pakistan. Pengalaman mendalami tafsir al-Quran, menjalani ibadah Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri memberi beliau perspektif baharu terhadap “budaya bangsa”. Penulis turut menunjukkan minat terhadap bentuk muka bumi dan keindahan alam semula jadi sepanjang pengembaraannya.
Bab Ketiga: Fasa Mendalami Insani (Makrifatullah)
Bab ketiga memuatkan pengenalan ringkas mengenai perjalanan tasawuf dan usuluddin beliau. Walaupun hanya tujuh halaman, bab ini dipenuhi persoalan dan pembuktian berkaitan ketuhanan, termasuk kewujudan “Aku, Alam dan Tuhan”, serta petikan daripada ulama tasawuf dan penyair terkenal Sheikh Jamaluddin El Rumi.
Berdasarkan perkara yang dihujahkan, parameter argumentasi dan bentuk pembuktian yang digunakan oleh Eyang, penulis tidak melihat adanya pernyataan atau hujah yang secara langsung membawa kepada persoalan keimanan (kepercayaan). Sebaliknya, keadaan ini dilihat sebagai fenomena yang lazim bagi seorang pencari, atau keadaan akal dalam pencarian ketuhanan (Phenomenology of Spirit).
Bab Keempat: Perjalanan Diri dalam Ilmu
Bab ini menceritakan pengalaman perjalanan spiritual Eyang, yang disebut sebagai “Perjalanan Diri Dalam Ilmu”. Sajak pada halaman 50 hingga 53 divisualisasikan melalui grafik bernuansa malam dengan halaman berwarna hitam. Dalam pembacaan penulis, gambaran ini mencerminkan keadaan yang dalam disiplin pengajian hakikat disebut “Ntah Berantah”: keadaan keberadaan keakuan atau bentuk kesedaran pada ke-Akuan dan sifat Amrun Iktibari (mengikut bahasa), yang berlangsung dalam landskap minda dan bukan pada realiti fizikal.
Dalam bahagian ini, “Logic & Reasoning” dilihat sebagai jalan keluar daripada keadaan “Ntah Berantah” dalam kerangka Phenomenology of Spirit (Mind). Ketidakpastian tersebut diterjemahkan sebagai suatu ketidaktahuan, atau “The Unknown”. Dalam pengajian hakikat, akal atau manifestasi kewujudan pertama (The First Intellect) disebut sebagai Al Aqli Al Ruhi. Fungsinya ialah mengenal dan mengetahui.
Dalam bab keempat, Eyang menyatakan kewujudan diri dan alam—termasuk objek seperti Proxima Centauri—sebagai asas penaakulan logik beliau tentang adanya Pencipta atau Tuhan yang mengadakan segala ini.
Bab Kelima: Fundamental Logika dan Akal
Manusia memiliki tahap kesedaran yang berbeza-beza dan boleh dilihat sebagai makhluk psikologi. Dalam sejarah ketamadunan manusia, istilah “manusia”, “manu”, “manas” atau “the man” pula dikaitkan dengan identifikasi keupayaan akal.
Dalam fasa ini, Eyang menunjukkan keupayaan tamadun manusia melalui evolusi dan dinamika akal yang membawa kepada penemuan dalam sains, metafizik, biologi dan genetik. Potensi manusia untuk mencari sesuatu yang belum diketahui (The Unknown) dapat digarap melalui pemikiran—iaitu fungsi akal—yang berlandaskan asas logik dan pembuktian (reasoning).
“For me, science (Atheist or Godly) is not about looking for His being, His Body. It is about learning His attributes, His Greatness, and His Subtleness. The Universe is teaching me about JIM” — petikan daripada Eyang.
Kritikan dan Pandangan terhadap Buku
Kritikan dan pandangan ini adalah berdasarkan kefahaman dan penelitian penulis. Ia bukan ketetapan mutlak terhadap perkara yang dibincangkan.
“The Atheist” vs “The Unknown”
Setelah menelaah keseluruhan teks buku God? The Atheist Inside Me in Quest of God nukilan Eyang terbitan Kaukab Press, penulis berpandangan bahawa pemilihan perkataan “The Atheist” kurang sesuai dengan keseluruhan konsep dan idea teks.
The Hermeneutics of the Subject
Dalam kerangka pengajian hakikat (the school of esoteric teaching) yang digunakan penulis, istilah “The Atheist” dibaca sebagai persoalan kepercayaan yang lahir daripada ketidakfahaman terhadap tafsiran teks agama. Penulis turut berpandangan bahawa kelompok ateis bukan golongan yang sedang mencari jalan ketuhanan, sebaliknya boleh muncul daripada pengalaman tertindas, sama ada kerana salah tafsir terhadap teks agama atau ketidakadilan sistem keagamaan yang mereka lalui.
Epistemologi Buku
Buku ini merupakan biografi yang menghimpunkan perkongsian dan pengalaman pencarian Tuan Elang dalam perjalanan mengenal ketuhanan.
Mengikut pembacaan penulis terhadap tradisi pengajian hakikat, kandungan buku ini lebih dekat kepada perbahasan trilogi antara Pengetahuan (Ilmu/KNOWLEDGE), Yang Mengenal (Knowledge to be Known/KNOWN) dan Yang Mengetahui (Knowledge of the Knower/KNOWER). Keadaan ke-Akuan, atau bentuk kesedaran yang mengalami trilogi ini, dinamakan “THE UNKNOWN” dalam proses yang digambarkan sebagai pemutasi pembelajaran—melibatkan perubahan pada kefahaman dan kesedaran.
“Yang Mengenal Itu Mengetahui Akan Dirinya Tetapi Tiada Tahu Barang Yang Diketahuinya Walaupun Ianya Didalam Pengetahuannya.”
“Yang Mengetahui Itu Tahu Akan Pengetahuan Tentang Dirinya Tetapi Tiada Tahu Akan Barang Yang Diketahuinya”. Bingkisan kitab Ajaran Hakikat.
Dalam tradisi pengajian hakikat (the school of esoteric teaching), perkataan “QUEST” merujuk kepada perjalanan diri, atau “Quest of the Self”, dan bukan perjalanan batiniah (psyche realm) yang dijudifikasikan sebagai “journey of the soul”.
Atas pertimbangan itu, kami mencadangkan tajuk yang dirasakan lebih sesuai: GOD? THE UNKNOWN INSIDE ME IN QUEST OF GOD.
Pada pandangan kami, tajuk ini lebih selaras dengan bentuk pemikiran Tuan Eyang dan perjalanan pengalaman beliau—daripada Ilmu Makrifat kepada Kuasa Makrifah (pengalaman)—seperti yang dihuraikan dalam buku. Ia juga mengurangkan risiko salah tafsir dalam kalangan pembaca umum, khususnya yang mungkin memahami perkataan “Atheist” di luar konteks yang dimaksudkan penulis.
Saranan dan Rumusan
Kritikan dan pandangan ini dibuat berdasarkan kefahaman dan penelitian penulis.
Kami mengucapkan syabas dan tahniah kepada Tuan Elang dan Rumah Penerbitan Kaukab Studio atas penerbitan buku ini. Buku ini boleh dijadikan rujukan awal dan pengenalan umum kepada sesiapa yang sedang melalui pencarian kerohanian.
Penggunaan laras bahasa yang mudah difahami serta bantuan visual grafik banyak membantu pembaca, terutama dalam memahami nasihat dan keterangan yang ingin disampaikan oleh penulis.
Kami mendoakan agar Tuan Eyang dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan daripada Ilahi, serta terus diberi kekuatan untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman. Semoga beliau terus mendokumentasikan pengalamannya dalam bentuk buku agar dapat menjadi rekod dan bahan pembelajaran pada masa hadapan.
Syabas dan tahniah.